Saturday, November 10, 2012

~Nilai-nilai Murni~


@NILAI-NILAI MURNI YANG PERLU DITERAPKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH@

  1. Baik Hati - sikap mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas yang dapat dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.
  2. Berdikari - kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri.
  3. Hemah Tinggi - budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta budi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan anggota masyarakat yang lain; terjelma melalui kesopanan, mengakui kesalahan diri, dan ramah mesra.
  4. Hormat-menghormati - menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.
  5. Kasih Sayang - perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu; termasuk sayang/cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.
  6. Keadilan - perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah; termasuk juga saksama.
  7. Kebebasan - dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara; terjelma melalui kebebasan di sisi undang-undang dan kebebasan dalam sistem demokrasi.
  8. Keberanian - kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati; termasuk berani tanpa membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian, dan berani bertanggungjawab.
  9. Kebersihan Fizikal dan Mental - kebersihan diri dan kebersihan persekitaran; terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian.
  10. Kejujuran - sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan; termasuk amanah, bercakap benar, dan ikhlas.
  11. Kerajinan - usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara; terjelma melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.
  12. Kerjasama - usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan bersama dan perpaduan.
  13. Kesederhanaan - sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat; secara umum sederhana dalam mempertimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.
  14. Kesyukuran - perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh; termasuk berterima kasih, mengenang budi, dan menghargai seseorang atau sesuatu. Nilai ini lebih berfokus kepada kesyukuran kepada Tuhan.
  15. Patriotisme - semangat cinta akan negara, taat setia kepada raja dan sanggup berkorban demi negara.
  16. Rasional - dapat berfikir dengan berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang wajar tanpa dipengaruhi oleh perasaan; termasuk mampu membuat pertimbangan, berfikir logik dan bersifat terbuka.

1 comment: